Kuala Lumpur: Zus Coffee bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada keluarga di Gaza berupa 10,000 juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Operasi Zus Coffee, Venon Tian berkata, Komuniti Zus Coffee berjaya mengumpulkan RM266,000 melalui inisiatif Zus Cares yang dipaparkan di dalam aplikasi.
Katanya, sumbangan itu secara rasmi sudah diserahkan kepada Mapim bagi membantu program ini dan memastikan keluarga di Gaza mendapat sokongan sepanjang bulan Ramadan.
“Ramadan adalah masa muhasabah, kesyukuran dan untuk memberi. Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami yang bersama-sama, melalui platform Zus Coffee menyokong keluarga di Gaza.
“Kami berasa rendah diri melihat kemurahan hati yang berterusan daripada komuniti kami dan sumbangan kolektif ini menunjukkan bahawa tindakan kebaikan yang kecil, apabila dilipatgandakan, boleh mencipta kesan yang mendalam dan berkekalan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, inisiatif Zus Cares berterusan sehingga kini, membolehkan pelanggan menyokong usaha bermakna bagi golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, ia ialah ciri menderma di dalam dalam aplikasi Zus Coffee yang membolehkan pelanggan menyumbang kepada inisiatif derma yang disahkan semasa membuat pembayaran.
Katanya, walaupun penyerahan sumbangan ini berlaku pada Ramadan, semangat memberi dalam kalangan rakyat Malaysia sudah terbukti sejak dahulu lagi, dengan sokongan berterusan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Mapim dalam kenyataan bersama berkata, bagi kebanyakan orang di Gaza, sokongan terbabit lebih daripada sekadar hidangan biasa kerana ia adalah simbol perpaduan dan mesej harapan.
“Mapim merakamkan ucapan terima kasih yang mendalam atas sumbangan ikhlas ini, menekankan bahawa kemurahan hati ini akan membantu mengekalkan usaha bantuan yang penting dan menaikkan semangat mereka yang menghadapi kesukaran.
“Sumbangan itu juga datang pada ketika usaha kemanusiaan di Gaza menghadapi cabaran yang amat besar,” katanya.
Menurut Mapim, hanya beberapa hari selepas penyerahan itu, pihaknya berdepan kehilangan lapan anggota kemanusiaannya, yang terkorban secara tragis dalam serangan udara.
“Dedikasi dan pengorbanan mereka menjadi peringatan yang kuat mengenai risiko yang dihadapi oleh mereka yang bekerja di lapangan dan keperluan mendesak untuk sokongan berterusan,” kata Mapim.
© New Straits Times Press (M) Bhd