Program dokumentari siasatan terkenal Fail Mahkamah di TV3 bakal membawakan dua episod khas yang menyelami secara mendalam kes tragis Zulfarhan Osman, satu peristiwa hitam yang terus mendapat perhatian masyarakat.
Episod pertama akan ditayangkan pada 12 Mac 2025, disusuli episod kedua pada 26 Mac 2025, tepat jam 9 malam.
Dibawakan dengan tajuk ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’, dokumentari ini bukan sekadar mengimbas perjalanan kes, malah menyajikan analisis menyeluruh yang menjadikannya liputan pertama seumpamanya di Malaysia.
Dari detik awal kejadian hingga peringkat Mahkamah Rayuan, setiap aspek dikupas dengan teliti bagi memberi pemahaman lebih mendalam kepada penonton.
Episod khas ini akan merungkai secara terperinci kronologi kejadian, punca kematian, serta perjalanan perbicaraan yang akhirnya membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024.
Keputusan bersejarah itu menyaksikan Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman penjara 18 tahun yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebaliknya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam Orang Kena Tuduh (OKT).
Keputusan ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, terutama di platform media sosial.
Melalui pendedahan eksklusif, bukti-bukti penting, serta keterangan saksi, dokumentari ini akan membawa penonton menyelami cabaran pihak pendakwaan dalam menegakkan keadilan.
Ia juga membongkar strategi pembelaan dan bagaimana dinamika dalam perbicaraan membuka ruang kepada penilaian semula kes, sekali gus memberi perspektif lebih jelas mengenai kompleksiti kes ini serta impaknya terhadap sistem perundangan negara.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ dalam Fail Mahkamah, malam ini jam 9 malam di TV3. Anda juga boleh menstrimnya secara langsung di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store.