Zola yakin Maresca mampu julang Chelsea

Zola yakin Maresca mampu julang Chelsea

London: Chelsea sedang menuju ke arah yang betul di bawah kendalian pengurus dari Itali Enzo Maresca, kata bekas bintang kelab, Gianfranco Zola, ketika pasukan itu kini menghuni kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tujuh perlawanan.

Zola bermain untuk Chelsea antara 1996-2003 dan memenangi dua Piala FA, Piala Liga dan Piala Juara-Juara UEFA menyokong rakan senegaranya di Stamford Bridge tetapi berkata merangkul trofi akan menjadi lebih sukar berbanding sebelum ini.

“Dia berada di bawah tekanan (untuk memenangi trofi),” kata Zola.

“Zaman sekarang berbeza kerana sebelum ini pengendalinya mempunyai pasukan yang hebat. Dia (Maresca) juga mempunyai pasukan yang baik tetapi masih muda dan perlu berkembang.

“Setakat ini, semua berjalan dengan sangat baik dan saya sangat berharap dia boleh melakukannya.

“Dia akan menghadapi tugas yang sukar kerana persaingan di England, semua orang tahu ia begitu kuat… Tetapi sekali lagi, saya suka apa yang dia lakukan, dan dia ada peluang.”

Maresca ialah pengurus Itali ketujuh dalam sejarah Chelsea dan Zola kekal sebagai salah seorang pemain paling popular yang pernah berada di atas padang rumput Stamford Bridge.

Namun, terdapat pergolakan dan kekacauan di Chelsea sejak konsortium Todd Boehly-Clearlake mengambilalih kelab itu pada 2022 daripada pemilik sebelumnya, Roman Abramovich.

Sudah lima pengurus bersama pasukan itu dalam era baru ini, sementara lebih daripada 30 pemain menandatangani kontrak tetap dengan kelab dalam tempoh berkenaan.

Walau bagaimanapun, Zola berkata beliau dapat melihat segalanya sudah mula bersatu di bawah Maresca yang berusia 44 tahun, yang menyertai dari Leicester City pada musim panas lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top