Zirkzee tekad lebih kreatif di United

Zirkzee tekad lebih kreatif di United
Zirkzee tekad lebih kreatif di United

Zirkzee sandaran baharu ten Hag.

PENYERANG baharu Manchester United, Joshua Zirkzee menjanjikan penyokong The Red Devils, pemain yang mengidolakan Ronaldinho dan Zlatan Ibrahimovic itu, akan menampilkan persembahan lebih kreatif dan luar biasa di Old Trafford.

Pemain berusia 23 tahun tersebut menandatangani kontrak bersama Red Devils selepas musim cemerlang dengan kelab Serie A Itali, Bologna yang menyaksikan dia menjaringkan 11 gol dan membuat lima bantuan serta membantu I Veltri mengesahkan slot kumpulan Liga Juara-Juara.

“Ya, satu perjalanan ibarat roller-coaster beberapa minggu lalu, namun pengalaman yang cukup baik. Dan saya sangat gembira berada di sini.

“Jelas sekali saya tiba pada masa yang baik, perpindahan ke Manchester United jelas sesuatu yang sangat positif, dan saya tidak sabar memulakan dan meneruskan persembahan musim lalu,” kata Zirkzee yang berketinggian 1.93 meter itu.

Pada masa sama, Zirkzee kelahiran Schiedam, Belanda yang memulakan karier senior bersama pasukan feeder FC Bayern Munich II menyifatkan penglibatan pengurus, Erik ten Hag bersama Red Devils satu nilai tambah kepadanya.

Malah kehadiran bekas pemain Belanda dan Manchester United, Ruud van Nistelrooy sebagai kakitangan kejurulatihan akan membantunya menyesuaikan diri dengan segera.

“Manchester United adalah kelab yang hebat dan besar jadi ia hanya satu keistimewaan dan faedah tambahan untuk saya.

“Malah kehadiran ten Hag dan van Nistelrooy jelas menjadikannya lebih mudah, (tetapi) untuk bersikap adil saya seorang mudah mesra, tidak terlalu sukar untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Mengulas pemilihan Zirkzee, ten Hag berkata: “Dia pemain yang boleh menghubungkan permainan, yang boleh tersedia, memegang bola, mempunyai idea yang baik, kreatif, boleh menggelecek, membuat kombinasi.”

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!