Zionis kejam, tak masuk akal

Zionis kejam, tak masuk akal

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ada antara cebisan mayat dan anggota tubuh kanak-kanak Palestin di Gaza yang dibom tentera Israel tersangkut pada dahan pokok.

Malah kebanyakannya hancur bersepai sebaik khemah pelarian terletak di Jabalia, utara Gaza digegarkan dengan letupan bom MK-84 berkuasa tinggi.

Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata, kekejaman dan pembunuhan dilakukan tentera Israel melangkaui akal manusia waras.

Menurutnya, anggota sukarelawan pertahanan awam Gaza terpaksa memanjat pokok bagi mengutip cebisan mayat kanak-kanak ini yang tersangkut pada dahan pokok.

“Cebisan daging mayat ini terpelanting selepas kediaman dihuni keluarga Al-Hassi di Jabalia musnah diletupkan tentera Israel.

“Tidak cukup dengan itu serangan turut menyebabkan ramai mangsa kanak-kanak terbakar hidup-hidup di dalam khemah pelarian dihuni.

“Ini dibuktikan hasil penemuan mayat mangsa yang bergelimpangan dan rentung terbakar kesan ledakan bom berkuasa tinggi dijatuhkan,” katanya melalui hantaran WhatsApp semalam.

Ahmed Abu Ayesh berkata, dia yang masih berjuang membela nasib penduduk di Gaza terkesan dengan serangan bertali arus tentera Israel terutama pada waktu lewat malam dan awal pagi.

“Tentera Israel akan menjatuhkan bom di kawasan khemah pelarian. Matlamatnya satu, membunuh seramai mungkin penduduk Palestin setiap hari.

“Dalam kejadian serangan subuh semalam, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin termasuk 11 mangsa yang terbakar hingga mati,” katanya.

Malah menurutnya, pesawat tentera Israel meletup dan membakar sekolah Yaffa di Al-Tuffah, timur bandar Gaza, yang menempatkan ribuan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

“Ketika serangan dilakukan, rata-rata penghuni khemah pelarian di kalangan wanita dan kanak-kanak sedang tidur. Mereka tidak sempat menyelamatkan diri dan mati dibunuh kejam,” katanya.

Menurutnya, peningkatan operasi ketenteraan oleh Israel dianggap sebagai gelombang besar dan berat terhadap rakyat Palestin.

“Sehingga kini, pejabat media Kerajaan Gaza menganggarkan lebih 61,700 penduduk Gaza terkorban manakala 116,991 cedera.

“Beribu-ribu lagi mangsa hilang di bawah runtuhan dan dianggap mati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top