Zii Jia mahu pertikaian peminat dan media diselesaikan cara baik

Zii Jia mahu pertikaian peminat dan media diselesaikan cara baik

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia berharap pertikaian antara peminat badminton dan pihak media tidak lagi berterusan serta dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Zii Jia yang ditemui ketika pertemuan antara dia dan Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam nyata terkejut dengan situasi yang berlaku itu dan mahu ianya dihentikan untuk kebaikan semua.

“Saya tahu mereka sayang saya. Walaupun saya cakap untuk mereka hentikan, saya tidak boleh mengawal mereka kerana ‘fan base’ badminton ini besar.

“Saya harap semuanya boleh diselesaikan dengan ‘peace and love’ walaupun saya faham kadang-kadang topik yang ditulis itu agak sensitif,” katanya.

Sebelum ini, sebuah media tempatan melaporkan seorang wartawan membuat laporan polis gara-gara maklumat peribadinya disebarkan di media sosial dan menerima kecaman daripada warga maya selepas menulis artikel mengenai juara All England 2021 itu.

Wartawan berkenaan turut dilaporkan menerima mesej berbaur ugutan dan kecaman daripada pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan tajuk berita tulisannya.

Dalam pada itu, Hamidin menyifatkan Zii Jia sebagai atlet yang mempunyai aura yang berbeza dikalangan peminat badminton dan mahu semua pihak memahami bahawa teguran yang diberikan kepada perseorangan lelaki nombor satu negara itu adalah untuk memastikan dia kembali bangkit.

“Zii Jia ‘will come back’ dan kita doakan sama-sama. Dia adalah pemain yang mempunyai aura yang berbeza di kalangan peminat. Apa pun yang diperkatakan oleh sesiapa untuk memberi komen kepada dia adalah dengan niat untuk memastikan dia kembali semula.

“Peminat patut faham kerana ada setengah yang sensitif apabila Zii Jia dikritik dan saya harap perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd