Zia Jia berkongsi khabar gembira penajaan Victor menerusi catatan di Instagram pada Isnin. Foto Instagram Team LZJ.
JAGUH perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meraih tonik tambahan menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China bermula Rabu ini.
Pemain itu berkongsi khabar gembira apabila akan terus berkolaborasi bersama penaja Victor sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Saya akan meneruskan kerjaya menuju Sukan Olimpik LA28 bersama Victor,” catat Team LZJ menerusi akaun Instagram pada Isnin.
Zii Jia yang diundi dalam Kumpulan A di Hangzhou menghargai kerjasama tersebut dalam memacu kerjayanya di pentas antarabangsa.
“Terima kasih Victor atas kepercayaan mereka yang tidak berbelah bahagi. Sokongan tanpa syarat bagi membolehkan saya meneruskan kerja bersama jenama kegemaran saya.
“Tidak lupa juga kepada kakitangan yang bekerja tanpa jemu sepanjang proses ini,” katanya.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut mengimbas mengenai cabaran, suka dan duka sepanjang perjalanan tersebut.
“Saya bersyukur kerana Victor sentiasa berada di sisi dan menjadi sumber kekuatan sebenar saya.
“Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa menyokong dan memilih untuk bersama saya.
“Buat Victor, kita boleh terus menjadi sistem sokongan antara satu sama lain selain saya terus mengejar misi terbaik dan mengejar impian ke LA28,” catat Team LZJ.
Victor dan Zii Jia mula bekerjasama sejak pemain berusia 26 tahun itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2022.
Sebagai rekod, pada musim ini, Zii Jia turut menjuarai Terbuka Australia dan Thailand selain naib juara Masters Malaysia.