Ziana tenang, punya kelas tersendiri – Alyph

Ziana tenang, punya kelas tersendiri – Alyph

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi rap dan komposer kelahiran Singapura, Alyph berpendapat penyanyi senior Ziana Zain mampu menghadapi isu membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini dengan baik.

Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 35, berkata, pihaknya percaya dengan kemampuan Ziana berdepan isu sedemikian bersandarkan pengalamannya bekerjasama dengan Ziana dalam pembikinan album The Storm sebelum ini.

“Ziana juga seorang penyanyi yang berada dalam kelas tersendiri. Jadi saya tak kisah dengan cerita kontroversi yang dikaitkan dengannya.

“Saya akan ada untuk beri sokongan padanya. Bagi saya, Kak Gee (panggilan untuk Ziana) adalah seorang yang sangat memiliki kelas dan saya juga percaya padanya.

“Mereka (Ziana) juga tahu apa yang harus dilakukan untuk menghadapi situasi ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat persembahan sempena pelancaran albumnya, The Storm yang berlangsung di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini.

Mengulas sambutan pada album The Storm pula, kata Alyph, dia bersyukur albumnya itu mendapat sambutan positif daripada pendengar.

“Sebenarnya pihak Apple menganjurkan acara untuk saya berkongsi pengalaman dalam proses penghasilan album debut saya iaitu The Storm. 

“Sebenarnya ini adalah platform yang diberikan untuk saya buat persembahan dan bertemu dengan peminat. 

“Album ini baru dilancarkan selama seminggu, jadi peminat yang hadir mungkin sudah dengar dan mahu mengetahui lebih terperinci mengenainya,” katanya.

Alyph juga berkolaborasi bersama Ziana menerusi dua lagu dalam album The Storm iaitu Teman dan Gerak yang dilancarkan bulan lalu.

Terdahulu, tiga selebriti dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Tiga selebriti itu terdiri daripada Ziana, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiganya tidak dianggap sebagai suspek sebaliknya keterangan masing-masing diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top