KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan mahu memperbaiki diri dalam menjadi seorang insan lebih baik pada masa depan selepas berdepan isu berkahwin dua sebelum ini.
Zainal, 62, menerima dengan hati terbuka apabila ramai menegur dan memberi kritikan susulan isu itu.
Malah beliaua memberitahu teguran itu juga diambil bagi memperbaiki diri dalam menjadi seorang insan lebih baik pada masa depan.
“Teguran ada yang baik dan ada pula tidak baik… Yang baik Alhamdulillah kita ambil, tidak baik kita terima untuk perbaiki diri.
“Saya tidak menolak kesemuanya (teguran) tetapi bagaimana kita kendalikan untuk ke arah lebih baik,” katanya menerusi temu bual bersama program Melodi semalam.
Bagaimanapun ketika diminta mengulas mengenai penceraian dengan penyanyi Fyna Jebat, Zainal enggan mengulas lanjut.
Dia memberitahu, ketika ini fokusnya hanya kepada kariernya dan tidak mahu mencampur-adukkan dengan soal peribadi.
“Saya lebih kepada bola sepak (ketika ini). Hal peribadi adalah perkara peribadi. Saya menghormati semua pihak. Kerjaya saya bersama pasukan bola sepak. Saya akan menjalankan tugas selagi saya dikehendaki dalam arena sukan ini,” katanya.
Sementara itu, Zainal meminta supaya orang ramai sentiasa mendoakannya dan Fyna.
“Kepada semua doakanlah bukan sahaja saya tetapi sesiapa sahaja. Doakan setiap insan ini mendapat kejayaan di dalam kehidupan dan karier masing-masing,” ujarnya.
Awal Februari lalu, Fyna atau Nur Syafinaz Jebat, 30, membuat pendedahan dia sudah bergelar isteri kedua kepada Zainal namun tidak menjeaskan butiran perkahwinan mereka.
Bagaimanapun perkahwinan yang dibina itu berakhir dengan penceraian pada Mei lalu.
Zainal dan isteri pertama iaitu Datin Zalina Zaini berkahwin pada 1980 dan hasil perkahwinan selama 43 tahun itu mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. – MalaysiaGazette