Zahnita belum berhijab

Zahnita belum berhijab

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Model dan pelakon terkenal Zahnita Wilson mengaku belum membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya apabila Zahnita tampil berhijab dalam beberapa sesi fotografi selain menutup rambut dalam hantaran di Instagram.

Zahnita yang tampil anggun berhijab pada majlis pelantikannya sebagai wajah sebuah jenama kosmetik baru-baru ini berkata, dia hanya sekadar menggayakannya.

“Saya masih belajar dan mencari gaya yang sesuai untuk diri sendiri.

“Saya belum bersedia untuk tampil berhijab sepenuhnya. Doakan yang baik-baik,” katanya.

Sementara itu, Zahnita mengaku sudah bersedia sekiranya kes perceraiannya dengan suami Abdul Zackery, 47, akan terus berpanjangan di mahkamah.

“Nak buat macam mana, mahu atau tidak saya perlu bersedia sekiranya prosiding perceraian saya akan terus berpanjangan.

“Apapun saya berharap semuanya akan selesai secara harmoni dan tak perlu bergaduh. Saya cuma mahu ‘dilepaskan’ dengan baik,” katanya.

Dunia hiburan digemparkan pada 3 Disember tahun lalu, apabila Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang susulan pendedahan dirinya berdepan penderaan domestik.

Abdul Zackery ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan namun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isteri.

Suaminya pula menyatakan mangsa keganasan sebenar adalah dirinya, bukan selebriti terbabit bahkan dedahnya Zahnita meminta cerai daripadanya sepanjang 20 tahun mereka berkahwin.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top