Bekas model dan usahawan, Zahnita akur diminta buat ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suami, semalam.
Menerusi satu temu bual bersama Sinar Harian, Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson berkata, dia bersetuju untuk menjalani prosedur berkenaan walaupun tidak mengetahui motif sebenar.
Zahnita akur diminta buat ujian saringan air kencing
Pun begitu, bekas peragawati berusia 39 tahun itu meluahkan rasa syukur apabila hasil saringan adalah negatif daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.
“Saya ada perintah mahkamah dan boleh dapatkan pengiring (polis) namun proses dan permintaan tersebut tidak berjalan lancar
“Saya diminta melakukan ujian air kencing. Jika mereka nak, tidak mengapa dan saya buat. Tiada apa yang hendak saya sorokkan dan keputusannya negatif,” katanya.
Dakwa Zahnita, dia terpaksa melalui halangan ketika mahu mengambil dua anak perempuannya di rumah suami, Abdul Zackery Ghouse Abd Gafoor semalam.
Ujarnya, dua anak perempuannya masih menetap dengan suami selepas dia bertindak berpindah keluar dari rumah sebelum ini.
“Syukur saya dapat ambil dua anak perempuan saya semalam dan sudah mendapat hak penjagaan interim pada 6 Disember lalu.
“Sebelum ini anak-anak masih bersekolah dan saya beri ruang kepada ayah mereka untuk hantar ke sekolah.
“Keadaan semalam tidak berjalan dengan baik untuk bawa anak-anak keluar (daripada rumah suami) sebab ada halangan daripada pihak sana,” katanya lagi.
Video penuh:
Terdahulu, Zahnita, membuat pendedahan berhubung keganasan rumah tangga yang sedang dihadapinya sepanjang perkahwinan bersama Abdul Zackery.
Menerusi perkongsian foto dalam media sosial, pelakon itu memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam selepas mendakwa berlaku pergaduhan bersama suami selepas isu orang ketiga dibangkitan.
Dia kemudiannya memfailkan permohonan cerai terhadap Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember lalu.
Dia juga mendapat hak penjagaan sementara interim dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan pada 6 Disember lalu.
Sumber: FB Sinar Harian