sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah melihat keputusan seri 1-1 menentang Kuching City dalam aksi Liga Super di tempat lawan semalam, adalah sesuatu yang positif buat skuad kendaliannya.
Menurut Yusri, anak buahnya memberi persembahan sangat baik dan cuba sebaik mungkin untuk membawa pulang tiga mata penting namun tidak terhasil.
Bagaimanapun, satu mata tetap berharga daripada mereka tewas dalam perlawanan itu.
“Syukur kami dapat mata yang amat berharga dan misi kami ke sini tidak tewas kepada Kuching City. Kami cuba memenangi perlawanan, tapi kami bersyukur dengan satu mata walaupun kami diasak sepanjang permainan.
“Keputusan seri lebih baik kepada kami untuk malam ini. Saya amat menghargai pengorbanan pemain yang bertungkus-lumus kerana sukar beraksi di padang Stadium Negeri,” katanya.
Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak melihat terdapat beberapa kesilapan tidak sepatutnya terjadi terutama 45 minit pertama sekali gus memberi kesan buat mereka merakam kemenangan di tempat sendiri.
“Kami memperoleh banyak peluang pada babak pertama. Namun, kami hilang tumpuan dan membuat kesilapan yang mana mereka (Perak) mendapat satu gol. Secara keseluruhan kami bangkit dengan baik pada babak kedua.
“Sudah pasti kami mahu menang beraksi di tempat sendiri untuk hadiahkan kepada penyokong, tapi saya fikir kita perlu terima keputusan dan pemain memberikan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, semalam, Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-18 sebelum Muhammad Ramadhan Saifullah menyamakan kedudukan pada minit ke-71, sekali gus meranapkan impian Bos Gaurus untuk membawa pulang tiga mata.
Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Yusri menghuni tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 23 mata selepas mengharungi 19 perlawanan manakala Kuching City yang beraksi 16 perlawanan di kedudukan keenam dengan 21 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd