Yusri letak harapan tinggi kepada tonggak tempatan

Yusri letak harapan tinggi kepada tonggak tempatan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menaruh harapan tinggi kepada pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan dan membawa pasukan Perak FC ke tahap lebih tinggi bagi mendapatkan tiga mata penting dalam perlawanan itu menentang Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, esok.

Jelasnya, ini ekoran beberapa pemain import yang sebelum ini berada dalam pasukan namun tidak dapat bersama lagi selepas kontrak mereka tidak dilanjutkan pada tahun ini.

“Seperti yang diketahui, kita kehilangan tiga import iaitu Lee Tea Min, Jasper Nyholm dan Luka Milunovic (kontrak tamat) tetapi pada saya, ini adalah peluang terbaik untuk pemain tempatan menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Sementara itu, pemain import, Luiz Henrique Motta pula mengalami keretakan di kakinya manakala Luciano Guaycochea belum pulih 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, Yusri menyeru setiap pemain bangkit bermula dengan perlawanan menentang Penang FC untuk memastikan matlamat 2025 dapat dicapai.

Katanya, beliau akui setiap pasukan mempunyai cabaran tersendiri tetapi dirinya yakin setiap pemain termasuk pihak pengurusan akan bekerjasama untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan.

“Setiap pasukan sudah pasti inginkan kemenangan termasuk Perak FC yang tidak terkecuali dan saya percaya kita perlu bekerjasama untuk memburu kejayaan.

“Pasukan dan pemain perlu bertanggungjawab untuk mencapai matlamat 2025 dan tolak tepi apa yang sudah berlaku pada tahun lalu kerana kita perlu buka lembaran baharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top