YPM bantu 300 pelajar keluarga berpendapatan rendah di Langkawi  

LANGKAWI: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) membantu 300 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di sini dipilih menerima sumbangan cermin mata dan bantuan kembali ke sekolah, pada tahun ini.

Pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM itu, seramai 100 pelajar menerima sumbangan cermin mata dan 200 pelajar lagi mendapat bantuan kembali ke sekolah.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, bantuan bernilai keseluruhan sebanyak RM27,000 itu diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bantuan itu merangkumi bantuan kembali ke sekolah sebanyak 12,000 dan bantuan cermin mata pula bernilai RM15,000,” ujarnya lagi.

“YPM berkesempatan menyantuni tiga orang pelajar di Langkawi untuk menyerahkan bantuan cermin mata itu, semalam.

“Bagaimanapun, pelajar-pelajar lain akan menerima sumbangan tersebut PPD Langkawi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan tersebut di PPD Langkawi, di sini hari ini.

Mohd. Nizar berkata, bantuan tersebut diharapkan dapat membantu mengurangkan beban keluarga pelajar terpilih yang kurang berkemampuan itu.

“Para pelajar yang terpilih menerima sumbangan bantuan itu dipilih oleh pihak PPD Langkawi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pada tahun ini, seramai 3,000 pelajar dari seluruh negeri ini dipilih menerima sumbangan tersebut yang membabitkan peruntukan sebanyak RM180,000.

“Program ini juga dapat memberikan manfaat kepada 44,000 pelajar di seluruh negara dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2.664 juta,” katanya.

Selain itu, YPM turut menyerahkan sumbangan sebanyak 3,000 pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada PPD Langkawi. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top