Yoro sah milik Man United

Yoro sah milik Man United

LONDON – Pemain pertahanan Lille, Leny Yoro sah menjadi milik Manchester United selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu bersetuju dengan bayaran sebanyak £50 juta (RM303.33 juta).

The Red Devils juga dilaporkan telah bersetuju dengan terma peribadi yang diminta oleh Yoro dan pemain berusia 18 tahun itu dijangka melengkapkan perpindahannya hari ini selepas urusan pemeriksaan perubatan selesai dijalankan.

“Menandatangani kelab hebat dan bercita-cita tinggi seperti Manchester United pada awal karier saya adalah satu penghormatan yang luar biasa.

“Daripada perbualan pertama saya dengan kelab, mereka memberikan saya rancangan yang jelas tentang bagaimana saya boleh berkembang di Manchester sebagai sebahagian daripada projek yang menarik ini, dan menunjukkan banyak perhatian kepada saya dan terhadap keluarga saya.

“Saya tahu sejarah pemain muda di Manchester United dan saya fikir ini adalah tempat yang sesuai untuk merealisasikan potensi dan cita-cita saya, dengan rakan sepasukan baharu saya. Saya tidak sabar untuk bermula,” katanya di laman web kelab.

Sebelum ini, difahamkan pemain tersebut lebih berminat untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu untuk bersama Real Madrid namun pasukan rundingan United telah berjaya meyakinkannya memilih ke Old Trafford.

Bagaimanapun, United belum bersedia melupakan hasrat mereka mendapatkan khidmat pemain pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite dan bek tengah Bayern Munich, Matthijs De Ligt, namun bergantung kepada ruang untuk mereka berbelanja. – Agensi