KUALA LUMPUR: Yayasan My First Home (YMFH) menyasarkan untuk membantu 1,000 isi rumah B40 dengan pemilikan rumah tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan, berkata yayasan itu ditubuhkan untuk memudahkan pinjaman perumahan mampu milik kategori B40 dengan menyediakan bantuan yang diperlukan bagi mendapatkan pinjaman serta membantu menyelesaikan masalah mereka dengan pemberi pinjaman dan pemiutang.
“Kami mendapati sekitar 50 peratus hingga 60 peratus daripada mereka yang diperuntukkan membeli rumah mampu milik kos rendah tidak mendapat kelulusan pinjaman perumahan kerana penarafan kredit yang lemah dan disenarai hitam oleh agensi kredit seperti CTOS dan pemberi pinjaman lain untuk bukan pembayaran komitmen mereka.
“YMFH bertujuan membantu mereka yang disenarai hitam untuk mendapatkan kelayakan kredit semula dengan menyelesaikan isu kredit mereka dengan pemberi pinjaman dan pemiutang,” katanya kepada media selepas pelancaran di sini, hari ini.
Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
YMFH menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan seperti pemaju, institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi Persekutuan dan negeri serta penderma untuk memudahkan pemilikan rumah bagi kumpulan B40.
Sementara itu, Pemegang Amanah YMFH, Datin Sri Sunita Mei-Lin Rajakumar, berkata pihaknya akan mewujudkan sebuah pangkalan data isi rumah yang berkelayakan bagi kemudahan berkenaan.
“Kami juga akan menyediakan bantuan kewangan serta menyokong kajian dan pembangunan tentang keperluan perumahan oleh golongan B40,” katanya.
Pada majlis itu, Tan yang juga Pengerusi Better Malaysia Foundation menyumbang RM5 juta kepada YMFH.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd