YKM anjur Larian Keluarga Malaysia 29 September ini

YKM anjur Larian Keluarga Malaysia 29 September ini

KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia pada 29 September ini untuk mengumpul dana membantu anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, larian tersebut demi memastikan bantuan kepada lebih kurang 6,000 anak yatim piatu yang berdaftar dengan YKM dibantu secara konsisten.

“Selepas Covid-19 ramai yang meninggal ada yang kedua-dua ibu bapa meninggal dan anak yatim piatu setengahnya tinggal dengan nenek yang tiada pekerjaan tetap setengah nenek mungkin menerima sumbangan masyarakat, jadi kehidupan agak sukar.

“Untuk itu atas keinsafan kita mewujudkan Yayasan KM tujuannya membantu anak-anak dapat terus hidup lebih baik,” kata bekas Perdana Menteri itu pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan pemilihan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai duta larian yang akan diadakan di Persiaran Flora, Cyberjaya itu kelak.

Sementara itu, Ismail Sabri menjangkakan seramai 3,000 orang bakal menyertai larian berkenaan.

Larian tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu Terbuka & Veteran (21km); Terbuka & Veteran (10km) dan Larian Santai (5km).

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi YKM atau LKM 2024 untuk pendaftar.

“Tarikh akhir pndaftaran adalah pada 7 September 2024,” katanya lagi.

Selain penyertaan individu bekas Perdana Menteri itu turut mengalu-alukan syarikat korporat menyumbang kepada LKM. -MalaysiaGazette