fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Komited dalam misi menjaga kebajikan artis veteran, Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) sedang mengenal pasti penggiat seni termasuk pemuzik yang terkesan dengan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ di seluruh negara sehingga 14 Jun ini.
Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, berkata usaha menjejaki penggiat seni yang memerlukan bantuan diteruskan biarpun seluruh negara kini akur perintah berkurung bagi mengawal penularan COVID-19.
“Berikutan kita dalam tempoh ‘lockdown’, persatuan tidak boleh bergerak.
“Namun, pengurus yayasan sedang mengumpul nama artis, tidak kira pelakon atau pemuzik, tua atau muda yang dihimpit kesusahan.
“Tanpa kita sedar, ramai penggiat seni berada dalam keadaan daif. Saya diberitahu Datuk M Nasir dan Datuk Nash mengenai keadaan pemuzik yang memerlukan bantuan,” katanya kepada BH Online.
Ditubuhkan kira-kira sembilan tahun lalu, YKAT setakat ini sudah membantu lebih 1,500 penggiat seni melalui pelbagai inisiatif terutama kewangan.
DJ Dave berkata, dua minggu lalu, iaitu sebelum ‘total lockdown’ dikuatkuasakan, YKAT mengagihkan sumbangan wang kepada sekumpulan artis veteran.
“Sekarang, kita tidak dapat bergerak kerana situasi semasa. Setiap bulan saya akan berusaha mencari artis dalam kesusahan untuk dibantu,” katanya.
DJ Dave berkata, peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,000 dikeluarkan setiap tahun bagi membantu penggiat seni sama ada artis lama dan baharu, sakit, uzur atau terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Itulah anggaran bantuan yang dihulurkan dalam bentuk kewangan,” katanya.
DJ Dave berkata, yayasan juga memberi pencen bulanan kepada beberapa artis veteran.
“Antara bintang veteran yang pernah menerima pencen bulanan sebanyak RM500 adalah pelakon veteran, Allahyarham Sharifah Aminah Syed Abdullah dan Allahyarham Yazit Ahmad.
“Artis lain adalah Alfred Ho, Yap Chin Fong, Kogilarani atau Jessy, Datuk M Daud Kilau, Bob Lokman, Zainal Abidin (Rampa), Othman Mohamed dan Juwariyah Abd Hamid,” katanya.
DJ Dave berkata, pencen itu dibayar selagi yayasan memiliki dana untuk disumbangkan kepada penggiat seni.
“Yayasan seboleh-bolehnya mahu membantu lebih ramai lagi artis yang memerlukan.
“Kita sedar ramai yang tidak boleh menjana pendapatan terutama ketika pandemik COVID-19. Kita tahu ramai yang tak boleh membuat persembahan dan tidak tahu bagaimana hendak menjana pendapatan melainkan dengan menyanyi.
“Sudah lebih setahun kita berada dalam keadaan ini. Apatah lagi penyanyi kelab malam, mereka antara golongan yang sangat susah sekarang,” katanya.
DJ Dave berkata, ada penyanyi menjana pendapatan melalui persembahan dalam media sosial seperti Fredo yang beraksi di Facebook (FB).
“Tetapi, jumlah diperoleh tidaklah banyak. Jadi, saya menasihatkan penggiat seni agar mengawal perbelanjaan dengan baik.
“Kami hanya membantu daripada segi kebajikan. Kami bukan bantu dalam aspek pembangunan karier.
“Namun, yayasan bantu selagi mampu seperti mencari peluang membuat persembahan di RTM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sedihnya, dalam tempoh ‘lockdown’ ini, tidak peluang dapat diberi,” katanya.
Selain DJ Dave, YKAT memiliki sembilan pemegang amanah antaranya M Nasir, Nash, Datuk Yusof Haslam dan Nancie Foo. YKAT mula beroperasi sejak 25 Jun 2012.
Sejak itu, yayasan membantu ramai artis termasuk di Sabah dan Sarawak termasuk mereka yang mencecah umur 60 tahun, menghidap penyakit, ditimpa kemalangan, lumpuh dan sebagainya.
© New Straits Times Press (M) Bhd