YBR salur bantuan persekolahan berjumlah RM25,000 kepada murid Orang Asli di Perak

YBR salur bantuan persekolahan berjumlah RM25,000 kepada murid Orang Asli di Perak

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan berjumlah RM25,000 bagi bantuan persekolahan kepada 792 murid Orang Asli (OA) di Perak.

Usaha yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak itu bertujuan membantu penerima layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan pembelajaran yang diperlukan sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, jumlah bantuan diberikan tidak besar namun diharap dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.

“Semoga usaha ini dapat memberi sinar kegembiraan buat murid menuntut ilmu serta tanda tulus ikhlas YBR dalam menyantuni mereka yang berada di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR di Dewan Sekolah Kebangsaan Pos Raya Simpang Pulai, Ipoh.

Turut hadir Presiden Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA) Senator Bob Manolan Mohamad, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak Datuk TPr Suki Mee dan Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman.

Sementara itu, Bob berkata, beliau amat berterima kasih atas sokongan berterusan diberikan YBR dalam membantu masyarakat OA khususnya di sekitar Perak.

“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin untuk murid OA berasa seronok ke sekolah dan mendapat pendidikan sama rata seperti murid lain.

“Bantuan YBR ini juga besar ertinya kepada murid di empat sekolah yang terbabit dan diharapkan insiatif ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

Setakat Jun tahun ini, seramai 19,240 murid dari 202 sekolah di 53 lokasi seluruh negara menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR membabitkan peruntukan RM2.74 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd