YBR salur bantuan kepada 50 pelajar, Qaireen Adriana

YBR salur bantuan kepada 50 pelajar, Qaireen Adriana

sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan RM25,000 kepada 50 pelajar dalam kalangan B40 dan asnaf bagi memulakan semester pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di sini, hari ini.

YBR berkata, inisiatif itu adalah kerjasama dengan Persatuan Sosial Aspi Permata dengan memberi manfaat kepada pelajar IPT yang tidak berkemampuan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat Syahredzan Johan berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangi bebanan kos sara hidup mereka.

“Bantuan tunai RM500 seorang ini dapat membantu menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan untuk meneruskan pengajian bagi kemasukkan pelajar ke IPT.

“Semoga bantuan ini turut dapat mengurangi bebanan kos sara hidup yang semakin

meningkat dan membantu ibu bapa meningkatkan tahap pendidikan anak-anak mereka,” katanya yang merasmikan Majlis Bantuan Awal Pengajian YBR itu.

Majlis sama turut dihadiri Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.

Sementara itu, YBR turut menyantuni adik Qaireen Adriana Tihani, 13, yang menderita penyakit Aortic Stenosis iaitu salur pembuluh darah ke jantung sempit.

Syahredzan berkata, selama 13 tahun Qaireen Adriana menjalani tiga kali pembedahan besar dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bantuan berjumlah RM5,000 sebulan bagi tempoh lima bulan akan datang diharapkan dapat membantu keluarga mereka yang terhimpit masalah kewangan.

“Mereka kini mengumpul dana menjalankan pembedahan untuk kali keempat bagi menukar injap utama jantung di Institut jantung Negara (IJN) yang dianggarkan kos awal sebanyak RM50,000 serta membiayai kos rawatan bulanan sementara waktu yang dianggarkan RM200-RM1,000 setiap bulan,” katanya yang menyampaikan sumbangan tunai di kediaman mereka di Pangsapuri Seri Jati, Setia Alam, Shah Alam, hari ini.

Suasana lebih memilukan apabila mendengar luahan ibu bapa kepada empat anak ini yang memaklumkan mereka perlu bekerja keras bagi memastikan kesemua anak tidak terputus makanan dan dapat meneruskan sesi persekolahan bagi mengubah kehidupan pada masa akan datang.

Menurut Mohamed Haffiez Mansor, 40, penyakit yang dihadapi anak sulungnya sudah dikesan sejak lahir lagi dan kehidupan mereka berubah kerana perlu menjaga Qaireen serta tiga lagi anak yang masih kecil.

“Saya baru diberhentikan kerja disebabkan tamat kontrak dan kini sumber pendapatan hanyalah menjaja pelbagai jenis jualan di sekitar Setia Alam manakala isteri baru saja dua minggu diterima bekerja sebagai Pembantu Jualan dengan pendapatan sebanyak

RM1,900 sebulan.

“Saya amat berterima kasih kepada YBR kerana sudi menyantuni kami dan memberikan sumbangan serta melihat keadaan anak kami yang memerlukan kos perubatan yang tinggi,” katanya.

Pada tahun ini, YBR memperuntukkan sebanyak hampir RM700,000.00 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang ingin membantu adik Qaireen Adriana Tihani boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB, 7607551097 atau Bank Simpanan Nasional (BSN), 1111529000020021 atas nama Mohamed Haffiez Mansor (Bapa) atau menghubungi beliau di talian 019-6060168.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top