Yakeb sedia bantu Gabit, tapi perlu ikut prosedur

Yakeb sedia bantu Gabit, tapi perlu ikut prosedur

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menjelaskan permohonan keahlian oleh bekas pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh (Gabit), sedang diproses mengikut prosedur dokumentasi standard yang digunapakai untuk semua bekas atlet kebangsaan.

Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai hasrat permohonan daripada Gabit pada Jumaat lalu, dan mula menghubunginya kelmarin untuk mendapatkan dokumen sokongan yang diperlukan.

“Yakeb menerima maklum balas daripada Habibullah pada Selasa (semalam), sehari selepas laporan media berhubung kesukaran dalam menyediakan dokumen pengesahan seperti sijil pengiktirafan atau surat sokongan yang membuktikan penyertaannya mewakili negara,” kata Shapawi.

Beliau menambah bahawa proses penilaian juga diperlukan memandangkan sukan permotoran seperti motocross tidak termasuk dalam kriteria kelayakan minimum Yakeb yang memerlukan seseorang atlet mewakili negara sekurang-kurangnya di peringkat Sukan Sea.

“Butiran seperti diminta adalah sebahagian daripada prosedur biasa bagi menentukan kelayakan.

“Yakeb bersikap terbuka terhadap semua jenis sukan, namun proses dokumentasi tetap perlu bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran keahlian yayasan,” katanya lagi.

Yakeb turut menegaskan komitmen untuk membantu bekas atlet kebangsaan yang memerlukan, termasuk dalam kes Habibullah, selagi mana kriteria yang ditetapkan dipenuhi.

Untuk makluman, Habibullah yang juga juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia (2016 & 2018), pernah disahkan menghidap kanser hidung tahap empat pada tahun 2021, sebelum bebas daripada penyakit itu pada 2023.

Beliau kini kembali disahkan menghidap kanser hidung sejak tahun lalu dan dilaporkan sudah menjalani 18 sesi kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top