Wujudkan jawatankuasa pembangunan ekonomi Bumiputera

Wujudkan jawatankuasa pembangunan ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan didakwa gagal mengumumkan dasar-dasar besar berkaitan ekonomi Bumiputera walaupun sudah lebih setahun mentadbir negara.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM),  Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, sejak setahun lalu, kerajaan tidak ada satu pun pengumuman hebat yang memberikan hala tuju negara ke hadapan.

”Saya tengok Kerajaan Madani tidak ada dasar, tidak ada satu pengumuman hebat yang memberikan hala tuju ke depan. Saya tengok ia teruskan saja apa yang sedia ada.

”Madani tidak ada kapsiti, nampak macam ada pengetahuan tapi tidak ada kebijaksaan tata pentadbiran negara, tata kelola pentadbiran,” katanya semasa menjadi panelis dalam Wacana Intelek bertajuk Pembangunan Ekonomi Bumiputera.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa nasional khusus untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.

Abdul Rahim berkata jawatankuasa berkenaan perlu dianggotai wakil daripada kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan dasar yang sesuai untuk ekonomi Bumiputera.

Menurut pandangan pandangan semua pihak perlu diambil kira tanpa mendiskriminasikan pegangan politik.

“Kalau ikhlas, Kerajaan Madani perlu buat perubahan, sebelum penggubalan dasar panggil pembangkang. Duduk semeja dengan kerajaan. Kalau betul-betul ikhlas kita libatkan semua pihak dalam jawatankuasa.

“Letakkan kepentingan nasional lebih daripada kepentingan kepartian. Baru boleh gubal dasar berkaitan ekonomi bumiputera,” tambahnya.

Sementara itu Abdul Rahim turut menyarankan kerajaan menggunakan sistem pendidikan negara jika ingin membangunkan ekonomi dalam kalangan Bumiputera.

Katanya, sistem pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu turut diseiringkan dengan keusahawanan demi menggalakkan generasi muda dalam bidang perniagaan.

“Kalau ikhlas bantu bangun ekonomi Bumiputera gubal dasar pendidikan dengan cara itu supaya mereka yang dalam TVET juga boleh belajar berniaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette