London: Alasan sebenar mengapa West Ham memilih untuk tidak menggantikan David Moyes dengan bakal pengurus Manchester United, Ruben Amorim, pada musim lalu didedahkan.
Amorim, 39, dijangka akan menggantikan Erik ten Hag di Manchester United minggu ini, dengan Red Devils hampir selesai memeterai perjanjian dengan pengurus Sporting Lisbon itu.
Namun, dia sebenarnya berpeluang mengendalikan pasukan Liga Perdana Inggeris enam bulan lalu selepas terbang ke England untuk berbincang dengan West Ham, April lalu.
The Hammers telah menemuduga Amorim tetapi memutuskan untuk mengekalkan Moyes sehingga akhir musim sebelum membawa masuk Julen Lopetegui menggantikan Moyes pada musim panas.
Pada awalnya, West Ham dikatakan ragu-ragu dengan yuran pampasan £8.3 juta (RM47.1 juta) yang perlu dibayar kepada Sporting untuk mendapatkan Amorim, serta bayaran tambahan untuk stafnya.
Namun, kini difahamkan kelab di timur London itu mempunyai kebimbangan lain dalam usaha mereka untuk melantik pengurus dari Portugal itu.
Menurut sumber yang rapat dengan kelab, mereka merasakan pelantikan Amorim adalah berisiko kerana dia hanya pernah menguruskan sebuah kelab terkemuka di negaranya sendiri.
Sumber itu menegaskan bahawa perbincangan berjalan dengan baik dan Amorim memberikan pandangan yang positif, namun West Ham akhirnya memilih untuk mencari pengendali lain.
Amorim tidak pernah menguruskan kelab di luar Portugal sebelum ini, tetapi sudah melatih tiga pasukan berbeza di tanah airnya.
Selepas bersara sebagai pemain pada tahun 2016, dia mula menguruskan Casa Pia dua tahun kemudian, sebelum berpindah ke Braga dan seterusnya ke Sporting.
Dalam tempoh empat tahun di Sporting, Amorim sudah memenangi gelaran liga Portugal sebanyak dua kali selepas kelab itu hampir dua dekad tidak memenangi liga domestik.
Selepas berbincang dengan West Ham pada April lalu, Amorim kembali ke Portugal dan meminta maaf kepada Sporting kerana mengakui masa perbincangan itu adalah ‘tidak sesuai sama sekali.’
Namun, perkara itu nampaknya tidak menjejaskan pasukannya kerana mereka berjaya merangkul gelaran liga pada bulan berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd