Wei Chong-Kai Wun tidak mahu kecewa lagi tahun depan

Wei Chong-Kai Wun tidak mahu kecewa lagi tahun depan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas terlepas peluang beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China minggu lalu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mahu lagi berdepan kekecewaan sama pada tahun depan.

Bagi Kai Wun, kegagalan meraih tiket kejohanan berprestij itu di saat akhir memberi pengajaran kepada mereka untuk lebih konsisten sepanjang tahun depan, bermula dengan Terbuka Malaysia, Januari ini.

“Tahun ini prestasi kami lebih baik berbanding sebelumnya, tetapi keputusan yang diperoleh tak bagus sangat.

“Kami berjaya mara ke final di satu kejohanan saja (Terbuka Indonesia), manakala (kejohanan) lain kandas terutama di suku akhir, jadi kami harap dapat pamer prestasi lebih bagus tahun depan.

“Kesilapan kami adalah terlalu fikir untuk beraksi (di Jelajah Dunia Akhir), jadi ia memberi tekanan kepada diri sendiri. Tahun depan kami perlu fokus dari awal dan konsisten dalam setiap kejohanan,” katanya.

Kai Wun berkata, dia serta Wei Chong meletakkan sasaran untuk menduduki ranking di kedudukan 10 terbaik dunia pada tahun depan.

“Memang kami harap dapat masuk dalam ranking 10 atau lapan terbaik dunia sebab tahun ini sasaran kami untuk berada dalam kedudukan 10 hingga ke 12 dunia tak tercapai.

“Kami perlu berbincang dengan jurulatih untuk memperbaiki corak permainan kami. Sebab kalau anda lihat, kami boleh berikan saingan dalam perlawanan, tetapi akhirnya kalah.

“Jadi kami perlu perbaiki kelemahan itu secara berperingkat. Kami tak boleh terlalu terburu-buru kerana ia akan menyebabkan kami sukar untuk melihat kelemahan sendiri,” katanya.

Wei Chong-Kai Wun terlepas tiket Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou selepas mempamer prestasi merudum di hujung musim, sekali gus terkeluar daripada senarai lapan beregu terbaik yang layak beraksi di kejohanan berprestij itu.

Pencapaian terbaik Wei Chong-Kai Wun pada tahun ini adalah mara ke final kejohanan berstatus Super 1000 di Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Bagaimanapun pasangan negara yang menduduki ranking ke-14 dunia itu terpaksa akur tewas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top