am@hmetro.com.my\
Tumpat: Setiap petang, kelibat seorang lelaki ditemani angsa berjoging dan beriadah di pinggir tebing Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini, menarik perhatian.
Wan Othman Wan Mohamad, 53, ditemani angsa jantan yang diberi nama ‘Wea’ setia mengekorinya tanpa mengganggu pengunjung lain.
Tidak seperti angsa lain yang sering mematuk manusia, Wea seakan memahami arahan Wan Othman apabila memintanya untuk memeluk atau mencium pengunjung yang mendekati.
Wan Othman berkata, dia mula membela angsa itu sejak berusia sebulan yang dibeli dari seorang kenalan dan kini Wea sudah menjangkau usia dua tahun.
“Wea membesar depan mata dan masa saya juga banyak diluangkan untuknya malah sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Saya letakkan namanya seakan nama saya kerana mudah untuk dipanggil selain sebagai tanda dia adalah kesayangan kami sekeluarga,” katanya ditemui di sini.
Wan Othman berkata, penjagaan Wea tidak susah, walaupun ada menyediakan sangkar tapi Wea sering dilepas bebas sekitar rumah malah makanannya juga tidaklah memerlukan belanja besar sebaliknya hanya nasi, daun pisang serta betik saja.
Menurutnya, masanya juga perlu banyak diluangkan untuk Wea kerana jika tidak, haiwan itu akan merajuk dengan langsung tidak mengendahkannya walau dipanggil atau dipujuk.
“Wea akan merajuk jika tidak menghiraukannya dan boleh mencecah dua hari jika masih tidak dipujuk.
“Maka saya akan bersamanya setiap masa malah perlu membelai dan bermain bersamanya seperti anak, seolah-olah dia juga memiliki naluri seperti manusia,” katanya.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, melihat kepada gelagat Wea yang sering mencuri perhatian, ramai yang menawarkan diri untuk membeli haiwan itu namun Wan Othman tidak akan sekali-kali menjualnya.
Menurutnya, Wea sudah dianggap seperti keluarga dan tidak senang duduk jika kelibat Wea tiada di depan mata.
“Saya menghasilkan batik serta tanaman bonsai di rumah dan setiap kali membuat kerja, Wea akan menemani malah jika hilang dari pandangan mata, saya akan segera memanggil namanya sebelum Wea muncul,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd