WCE pandang serius aktiviti merempit di lebuh raya

WCE pandang serius aktiviti merempit di lebuh raya

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB) menyatakan pihaknya memandang serius isu keselamatan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) termasuk mengenai aktiviti mat rempit yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketua Operasi WCE Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha membanteras kegiatan mat rempit di WCE.

“Kami sentiasa bersedia memberikan sokongan penuh kepada pihak polis dalam operasi yang dijalankan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terjamin,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) adalah antara lokasi yang menjadi pilihan untuk mat rempit beraksi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut mengesan beberapa lokasi lain yang menjadi pilihan mat rempit termasuk Lebuhraya Persekutuan, WCE dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT2).

Berdasarkan statistik katanya, sebanyak 2,241 tangkapan dibuat di seluruh negara terhadap mat rempit bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Mengulas lanjut, Syed Muhd Naguib turut menggariskan beberapa langkah yang diambil pihaknya bagi membantu mengurangkan kegiatan mat rempit dan meningkatkan keselamatan di Lebuhraya WCE.

Antaranya katanya, pemasangan kamera pengawasan di beberapa lokasi strategik di sepanjang Lebuhraya WCE bagi memantau sebarang kegiatan yang mencurigakan.

Menurutnya, kedua adalah dengan menjalankan rondaan berkala oleh pasukan WCE Patrol.

“(Ia) untuk mengesan dan melaporkan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya dibantu oleh sistem pengawasan trafik WCE yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Ketiga, katanya, menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya seperti Op Selamat dengan kerjasama PDRM untuk mendidik pengguna lebuh raya mengenai bahaya kegiatan mat rempit dan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.

“WCE turut bekerjasama dengan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat dan laporan mengenai kegiatan mat rempit di kawasan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd