Waspada, buat penilaian agar tidak jadi mangsa eksploitasi perniagaan – Karyawan

Waspada, buat penilaian agar tidak jadi mangsa eksploitasi perniagaan – Karyawan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menasihatkan golongan artis berhati-hati agar tidak menjadi mangsa eksploitasi perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Ia berikutan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan beberapa artis dan syarikat perunding kewangan CSA Academy yang dikaitkan dengan penipuan ratusan juta ringgit.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, langkah ini penting bagi mengelakkan mereka dieksploitasi oleh perniagaan yang menyalahi undang-undang.

“Kes sebegini bukanlah perkara baharu, sebaliknya dah berlaku beberapa kali sebelum ini. Para manipulator sering menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka dalam masyarakat.

“Kehadiran artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah bagi syarikat atau individu yang ingin mengambil kesempatan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mengulas isu terkini, Freddie percaya bahawa artis atau selebriti yang terbabit mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi oleh pihak sindiket.

“Kebanyakan mereka menerima tawaran ini, kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan juga adalah sumber pendapatan utama mereka.

“Namun, saya percaya modus operandi sindiket sebegini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah mereka menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, menyebabkan golongan artis bersetuju menerima tawaran mereka,” katanya.

Freddie menasihatkan agar golongan artis membuat semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran, terutamanya jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.

Sebagai langkah pencegahan, Freddie menyeru agar artis mengambil inisiatif untuk menyiasat latar belakang syarikat yang menawarkan tajaan atau kontrak duta.

“Dapatkan nasihat profesional jika perlu, terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan.

“Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya,” katanya,

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top