Jakarta: Seorang wartawan portal dalam talian, Juwita Suyono ditemukan meninggal dunia di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Sabtu minggu lalu.
Mangsa dipercayai dibunuh oleh anggota Tentera Laut Indonesia dikenali dengan pangkal nama J, yang tidak lain tidak bukan adalah kekasihnya sendiri.
Portal Kompas melaporkan, abang kepada Juwita, Praja Ardinata mengesyaki teman lelaki adiknya dikenali J sebagai suspek utama.
Katanya, Juwita dan J menjalin hubungan dan sedang membuat persiapan untuk majlis pernikahan mereka.
“Memang ada persiapan, mereka hampir melangsungkan pernikahan,” kata Praja kepada pemberita pada Khamis lalu.
Menurut Praj, majlis pernikahan Juwita dan J dijadualkan berlangsung pada Mei 2025.
“Perancangannya pada Mei, tapi saya tak tahu bila tarikhnya,” katanya.
Sebelum ditemukan meninggal dunia, Juwita sempat keluar rumah.
“Pada hari itu, dia (Juwita) minta izin keluar sebentar tapi dia tidak beritahu nak ke mana.
“Biasanya kalau dia keluar pun tak lama,” kata Praja.
Juwita bertugas dengan portal Newsway.co.id sejak 2022, dan pengarangnya, Suroto, menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang ceria dan mudah bergaul.
Kematian Juwita yang masih misteri memaksa organisasi, persatuan dan rakan wartawan di Banjarbaru menuntut keadilan buatnya.
Mereka meminta pihak polis menyelesaikan polis itu dengan segera.
Polis Banjarbaru juga sudah menyoal siasat empat saksi dalam siasatan kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd