KOTA KINABALU: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan) tidak menyokong keputusan menaikkan gaji ketua menteri, menteri, ADUN dan anggota pentadbiran kerajaan Negeri.
Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerusi ucapan perbahasannya mempersoalkan formula yang digunakan kerajaan dalam meminda Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1981 bagi menaikkan emolumen atau gaji ADUN dan anggota pentadbiran kerajaan negeri.
“Kita tahu dalam keadaan hasil negeri meningkat, kita mahu terus menaikkan gaji walaupun mungkin ia tidak setimpal. Saya tahu bebanan banyak jadi, saya berharap sungguh apa yang saya soal tadi mengenai formula atau kaedah digunakan dapat dijelaskan.
“Saya tahu kerajaan negeri hari ini mempunyai hasil yang begitu banyak seperti dikatakan Ketua Menteri, hasil kita meningkat. Bukan hanya daripada cukai yang ada seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) minyak, royalti dan cukai jualan kelapa sawit juga meningkat.
“Saya tahu berbanding dengan negeri-negeri lain seperti gaji menteri dan ADUN Sarawak jauh lebih besar daripada kita.
“Namun persoalannya, adakah perkara ini sesuai dilakukan semasa keadaan ekonomi semakin membebankan rakyat dan hutang negara juga semakin meningkat. Adakah ini masa yang sesuai kerana perkara ini membimbangkan peringkat akar umbi,” katanya dalam sesi perbahasan DUN Sabah semalam.
Mohd. Shafie (Warisan-Senallang) berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ingin membantu wakil rakyat, ada kaedah lain boleh digunakan seperti memberi peruntukan pembangunan yang lebih besar agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi dibantu.
Justeru, beliau memohon kerajaan supaya memaklumkan formula yang digunakan bagi menaikkan kadar gaji dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merosot.
Semalam, DUN Sabah meluluskan kenaikan gaji ketua menteri, menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri selepas pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1981 diluluskan.
Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, implikasi kewangan yang terlibat juga tidak begitu membebankan kerana hanya membabitkan sejumlah RM5.6 juta setahun. – UTUSAN