mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Suki Low, 35, dan Muzzammil Alias atau Waris, 36, dikurniakan anugerah kebesaran sempena hari keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ke-77.
Berita gembira ini dikongsikan mereka menerusi Instagram masing-masing pada hari ini.
Suki merakamkan penghargaan terhadap Tuanku Munawir atas kurniaan ini.
“Patik menjunjung kasih Tuanku, Tunku Ampuan Besar dan kerabat diraja Negeri Sembilan yang memberi kepercayaan, sokongan dan kurniaan ini kepada patik sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
“Kurniaan ini patik terima dengan amanah dan akan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
“Berkatlah Yang Di-Pertuan Besar. Daulat Tuanku,” tulisnya.
Juara program realiti One In A Million musim pertama itu juga mengucapkan terima kasih kepada suaminya, Jeremy Chong yang sentiasa mendukung dan merestui kerjayanya.
Sementara Waris yang popular dengan lagu ‘Rembau Most Wanted’ dan ‘Gadis Jolobu’ pula mendedikasikan anugerah ini kepada peminatnya.
“Untuk rakyat N9. Terima kasih menginspirasi. Terima kasih isteri, tulang rusuk saya.
“Dan seluruh keluarga Diraja Negeri Sembilan khususnya Tuanku Mukhriz dan Tunku Zain yang sentiasa menyokong perjalanan muzik saya,” tulisnya yang turut melahirkan kesyukuran.
Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak menyebut atau memaklumkan anugerah kebesaran yang diterima dan gelaran yang diberikan.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini bagi sesi pertama manakala sesi kedua pada 20 Januari dan sesi ketiga pada 25 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd