Warga UNITEN bersolidariti untuk rakyat Palestin

Warga UNITEN bersolidariti untuk rakyat Palestin

PUTRAJAYA – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menyuarakan sokongan dan solidariti terhadap hak dan kebebasan rakyat Palestin dengan menganjurkan program Solidariti UNITEN bersama Palestin baru-baru ini.

Hampir 1,000 warga universiti termasuk pengurusan tertinggi UNITEN, pelajar, wakil daripada komuniti pelajar Palestin serta warga kerja turut menyertai program Solidariti UNITEN bersama Palestin.

Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menzahirkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza dan yang berada di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Tambah beliau, UNITEN mempunyai 10 pelajar aktif yang berasal dari Palestin.

Justeru, program itu merupakan tanda sokongan universiti tersebut dan kesedaran terhadap krisis yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

”Saya menyeru warga UNITEN untuk bersama-sama menunjukkan kebersamaan dan kemanusiaan kita serta mengecam kezaliman yang menimpa rakyat Palestin.

“Tindakan kejam zionis mencabuli hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, meninggalkan luka mendalam pada umat manusia,” katanya.

Program itu berlangsung di Sunken Garden, Bangunan Pengurusan UNITEN.

Peserta dalam program tersebut membawa Jalur Gemilang dan bendera Palestin, memakai mafla dan head band bermotif Palestin, plakad serta melaungkan ‘Palestin’, ’Free Palestin’ bagi mengecam tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Solidariti yang bermula sejak 30 Oktober yang lalu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti perkongsian pelajar Palestin, ceramah Pensyarah Tahfiz UNITEN berkaitan konflik Palestin, solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah.

UNITEN turut melancarkan Tabung Prihatin Palestin UNITEN bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas.

UNITEN juga mengambil inisiatif untuk menawarkan tajaan yuran pengajian kepada pelajar Palestin yang baharu bagi sesi pendaftaran akademik 2023/2024 untuk membantu mereka meneruskan pendidikan di tengah-tengah kesukaran dihadapi. – MalaysiaGazette