Warga Jerman maut akibat serangan jantung ketika berbasikal

Warga Jerman maut akibat serangan jantung ketika berbasikal

Ipoh: Seorang lelaki warga Jerman maut dipercayai mengalami serangan jantung ketika menunggang basikal dalam kejadian berhampiran Masjid Perlop 1, Jalan Perlop 1 dekat Sungai Siput hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput DSP Mohd Rohaizimi Razali berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian membabitkan lelaki berusia 67 tahun itu pada 10.46 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang basikal bersendirian dari kediamannya di Ipoh menuju ke Sungai Siput.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, basikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan.

“Mangsa terjatuh ke bahu jalan dan kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada kerosakan pada basikal, malah barangan peribadi seperti wang dan telefon bimbit masih berada bersama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rohaizimi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput bagi tujuan bedah siasat dan laporan awal menunjukkan punca kematian akibat serangan jantung.

“Setakat ini kita dapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top