Warga emas tabah jaga suami terlantar

Warga emas tabah jaga suami terlantar

am@hmetro.com.my

Nilai: Lebih setahun menempuhi episod sukar apabila suaminya hanya terlantar di katil akibat pelbagai komplikasi penyakit, namun wanita ini tetap tabah dan setia di samping lelaki itu.

Makan minum, ubat-ubatan dan keperluan harian malah proses membuang air suaminya, Razali Idrus, 79, juga diuruskan Siti Sharifah Alauyah Syed Sayuthi, 63, setiap hari.

Selain duji dengan masalah kewangan kerana tidak bekerja akibat perlu memberi tumpuan kepada Razali, emosi Siti Sharifah Alauyah sering dicuit apabila kerap dimarahi suaminya tanpa sebab kerana warga emas itu mengalami nyanyuk.

“Sudah jadi suami isteri, kena jaga satu sama lain hingga akhir hayat. Memang sudah ditakdirkan seperti ini, jadi kita terima sahaja apa yang ditentukan.

“Dengan usia saya sekarang dan kudrat seorang wanita, saya memang penat kerana perlu menguruskan suami dari A sampai Z.

“Emosi juga kena kuat untuk berhadapan dengan karenah suami yang nyanyuk kerana dia akan marah secara tiba-tiba dengan suara tinggi,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Tengah Lenggeng, di sini, semalam.

Seolah tiada tempat mengadu, wanita itu menitiskan air mata saat menceritakan beban ditanggung selama ini seorang diri.

Mengimbas kisah suaminya diserang demam panas pada Mei 2023, bekas pekerja swasta itu berkata, suaminya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sebelum kesihatannya semakin merosot.

“Suami mengalami demam panas tinggi dan terus ditempatkan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selama lapan hari untuk menerima rawatan sebelum doktor mengesahkan suami ada jangkitan pada kelenjar prostat.

“Sejak itu, badan suami tidak kuat, sendinya sakit dan tidak mampu berjalan. Setakat ini, belum lagi disahkan mengidap kanser namun berkemungkinan ke arah itu,” katanya.

Siti Sharifah Alauyah berkata, berbekalkan wang persaraannya melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia dan suami meneruskan kehidupan seharian.

“Duit simpanan makin hari makin susut, mujurlah suami dapat bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung. Pihak surau juga ada beri bantuan barang keperluan harian.

“Rumah ini disewa RM200 sebulan dan suami terpaksa memakai lampin pakai buang, jadi bantuan JKM dapatlah tampung. Perbelanjaan harian itu terpaksa korek duit simpanan.

“Kereta pun sudah dijual. Jika mahu beli barang dapur atau bawa suami ke hospital, saya minta bantuan jiran atau kawan dan beri duit minyak kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa setiap hari semoga suaminya dapat bergerak seperti biasa dan dapat menunaikan solat lima waktu bersama.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik Siti Sharipah Alauyah, 164025031523.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top