Warga emas sedang berehat tergamam lihat angin terbangkan bumbung

Warga emas sedang berehat tergamam lihat angin terbangkan bumbung

SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila rumahnya dibadai ribut di Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengahari itu, Aminah Bakar, 73, sedang berehat di bilik tidurnya kerana kurang sihat manakala seorang cucu lelaki berusia enam tahun sedang bermain di luar.

Aminah berkata, ketika sedang berehat itu dia tiba-tiba terdengar bunyi deruman angin yang kuat sebelum melihat bumbung bilik tidurnya terangkat dan dibawa angin.

“Saya cemas dan tergamam apabila melihat bumbung bilik terangkat, dalam keadaan badan yang masih lemah saya terpaksa gagahkan diri untuk bangun menyelamatkan diri.

“Saya pegang tangan cucu dan heret dia keluar dari rumah kami menuju ke rumah adik saya yang terletak bersebelahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Telok Amboi, di sini, hari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana mereka berdua sempat menyelamatkan diri sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.

“Alhamdullilah, kami berdua tidak mengalami sebarang kecederaan namun saya sedih kerana rumah yang baharu sahaja dibaiki tidak sampai setahun sudah rosak dengan sekelip mata.

“Rumah ini dibina semula dengan bantuan pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada tahun lalu selepas binaan rumah lama rosak akibat dimakan anai-anai,” jelasnya.

Aminah berkata, dia kini buntu memikirkan cara untuk membaiki semula rumahnya yang rosak dan berharap ada pihak yang dapat tampil membantu.

“Buat masa ini saya tinggal di rumah anak, Suhari Said, 47, sebelum bahagian rumah yang rosak dapat dibaiki segera,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top