Warga emas rugi setengah juta ringgit ditipu pelaburan saham tak wujud

Warga emas rugi setengah juta ringgit ditipu pelaburan saham tak wujud

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi, seorang warga emas kerugian RM500,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat lelaki warga tempatan berusia 84 tahun itu, semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan pada Oktober lalu dan berurusan dengan seorang individu bernama Dong Yuan.

“Individu itu memperkenalkan dan memberikan penerangan kepada mangsa mengenai pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi sehingga 100 peratus.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah memuat turun aplikasi Digzaxxce bagi memantau keuntungan dan melakukan sebanyak 12 transaksi pembayaran melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan.

“Transaksi dibuat bermula 6 Januari lalu hingga Rabu lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM500,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu apabila akauntan mangsa memberitahu bahawa pelaburan itu tidak benar selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan yang tinggi dalam USD.

“Mangsa mendakwa, jika dia enggan (membuat bayaran tambahan), keuntungan diperolehi akan dibekukan,” jelasnya.

Balveer berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan melihat kepada pembabitan keldai akaun.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih cakna dengan tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat juga dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top