SUNGAI GOLOK, THAILAND – Seorang warga emas maut manakala suami dan anak lelakinya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik di Lubo Lue Song, Mundok dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, wanita terbabit, Che Azizah Mohd. Daim, 62 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mundok, Leftenan Kolonel Teepakom Thitichayakil berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menaiki kereta jenis Perodua Axia dipandu anak lelakinya berusia 35 tahun dan suaminya 65 tahun.
Menurutnya, kereta tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari Tanjung Mas, Narathiwat ke Sungai Golok.
“Kereta terbabit dipercayai hilang kawalan semasa tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh tiang elektrik.
“Warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak dan suaminya yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Teepakom memberitahu, siasatan awal mendapati, warga emas yang berasal dari Jerteh, Terengganu itu maut selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Katanya, jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat.-UTUSAN