Warga emas maut dilanggar kanak-kanak 12 tahun

Warga emas maut dilanggar kanak-kanak 12 tahun

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas maut selepas motosikalnya dirempuh motosikal ditunggang seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Kampung Sri Aman, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 65 tahun menunggang sebuah motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Ketika mangsa keluar dari simpang lorong Sentosa, motosikal warga emas itu dilanggar
sebuah lagi motosikal ditunggang kanak-kanak lelaki 12 tahun di bahagian tepi sebelah kanan.

“Kemalangan itu mengakibatkan warga emas tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pada 6.40 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan lebam di bahagian lutut kiri.

“Kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (apj) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top