Kuantan: Seorang lelaki warga emas ditemui maut akibat dihempap pokok tumbang di sebuah kebun di Batu 1, Jalan Teras, Bentong, dekat sini petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang menimpa Lee Pik Chee, 67, jam 4.23 petang.
“Pasukan bomba terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda berikutan jentera bomba tidak boleh memasuki kawasan kebun itu dan kemudiannya berjalan lebih kurang 1.5 kilometer ke tempat mangsa.
“Sebaik tiba, mangsa ditemui dalam keadaan dihempap pokok manggis dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JBPM Pahang, operasi mengalihkan mangsa segera dilakukan dengan memotong bahagian pokok menggunakan gergaji berantai dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd