am@hmetro.com.my
Kuantan: Lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di jeti Kampung Menchali, Kuala Rompin, Rompin, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 67 tahun dari Felda Keratong 6 Muadzam Shah pada 2 pagi.
“Operasi pencarian digerakkan 8 pagi ini bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Setakat 3 petang ini, mangsa belum ditemukan dan operasi pencarian masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Salahuddin Isa berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, SAR turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai ke lokasi itu untuk memancing sebelum disyaki terjatuh ke dalam sungai.
“Operasi pencarian dilakukan di sekitar sungai dan permukaan air dengan bantuan bot penduduk kampung, tetapi warga emas itu masih belum ditemukan setakat ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd