am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Semalam, ibu banyak berdiam diri, saya tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami semua,” luah Norazilah Mamat, 57, anak kepada mangsa lemas, Minah Awang Hamat, 88.
Mangsa yang juga mempunyai penyakit nyayuk dan rabun ditemui lemas di dalam tali air berdekatan kediamannya di Kampung Bechah Palas 4, Bunut Susu, di sini, jam 9.28 malam tadi.
Norazilah berkata, kali terakhir dia berborak dengan ibunya petang semalam memandangkan kediaman mereka hanya bersebelahan saja selain mangsa setiap hari akan bermalam di rumahnya.
Katanya, sekitar jam 6 petang, dia ke rumah ibunya untuk mengajak bermalam di kediamannya, tetapi ibunya tidak ditemui sebelum mereka sekeluarga mencari di sekeliling rumah dan kampung.
“Saya juga turut bertanya pada kakak yang tinggal berdekatan namun terkejut apabila dia memaklumkan bahawa ibu juga tiada di rumahnya. Saya mula resah sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Sebaik misi pencarian dilakukan, ibu ditemui lemas oleh suami saya sendiri di pintu air di dalam parit yang jaraknya 200 meter dari rumah. Luluh hati saya melihat sekujur tubuh ibu dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia.
“Sebenarnya, kami sekeluarga sudah beberapa kali meninjau kawasan tali air di hadapan rumah namun tidak mengesan sebarang petanda kerana paras air agak tinggi berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazilah berkata, jenazah ibunya itu akan dikebumikan selepas waktu Zohor hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin berkata pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 9.08 malam tadi.
“Mangsa ditemui orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa ahli keluarga yang sudah berusia atau kanak-kanak bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd