Warga China rugi RM4.2 juta terpedaya dengan 'Sarjan Michael'

Warga China rugi RM4.2 juta terpedaya dengan 'Sarjan Michael'

am@hmetro.com.my

Seremban: Bekas ahli perniagaan warga China kerugian RM4.2 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 62 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada nombor telefon tidak dikenali mengaku sebagai Sarjan Michael pada 21 Disember 2024.

Katanya, mangsa dikatakan terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya telah membuat pindahan wang secara dalam talian kepada akaun syarikat dan memasukkan dua cek ke dalam dua akaun syarikat berbeza setelah mendapat arahan daripada Michael.

“Mangsa juga mengarahkan bank untuk membuat pindahan wang daripada akaun bank miliknya ke dalam akaun syarikat yang telah diberikan, yang mana kesemua transaksi berkenaan untuk tujuan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pada program Cakna Komuniti Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Pusat Jagaan Warga Emas Sikamat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hatta berkata, mangsa hanya menyedari diperdaya selepas dimaklumkan oleh bank bahawa akaun miliknya itu disekat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuka 105 kertas siasatan berkaitan modus operandi Macau Scam antara Januari hingga Disember 2024.

Menurutnya, ia membabitkan nilai kerugian sebanyal RM1.8 juta berbanding 84 kertas siasatan dengan kerugian sebanyak RM930,931 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top