Seorang wanita warga Jepun ditemukan meninggal dunia, dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, memaklumkan bahawa pasukan peronda dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 8.07 pagi.
“Anggota polis rondaan diarahkan untuk ke lokasi bagi mengesahkan maklumat dan memberikan bantuan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa, seorang wanita Jepun berusia 50-an, telah meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di atas tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa adalah seorang suri rumah yang telah menetap di Malaysia sejak lebih kurang 14 tahun lalu.
Katanya lagi, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian menunjukkan tiada unsur jenayah terlibat dalam insiden tersebut.
“Kes ini disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan surat pelepasan jasad sedang disediakan untuk diserahkan kepada suami mangsa,” katanya.
Sumber: Berita Harian