Wanita selekeh rupanya terlibat pengubahan wang haram di Thailand

Wanita selekeh rupanya terlibat pengubahan wang haram di Thailand

NAKHON SI THAMMARAT – Polis Thailand menahan seorang wanita yang terlibat dalam skim pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penipuan pusat panggilan yang berjaya memperdaya mangsa untuk memindahkan wang sebanyak 1.8 juta baht (RM 2 juta)

Wanita tersebut, yang dikenali sebagai Yupaporn, 40, ditahan di hadapan sebuah rumah di Chang Klang, Nakhon Si Thammarat.

Penahanan itu dilakukan selepas arahan dikeluarkan oleh Leftenan Jeneral Polis Worawat Watnakornbancha, Ketua Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB), dan Mejar Jeneral Polis Poomphat Pattharasirivongchai, Komander Divisyen 5 CCIB, bersama Timbalan Komander Kolonel Polis Buncha Srisuk dan pasukan analisis berita dari Divisyen 5 CCIB.

Kes ini bermula apabila seorang mangsa melaporkan kepada polis mereka telah menerima panggilan daripada seseorang yang menyamar sebagai pegawai syarikat kad kredit dan suspek tersebut mendakwa mangsa telah menggunakan kad kredit mereka untuk mengeluarkan wang bagi membeli emas dan terlibat dalam aktiviti haram.

Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis lalu memberitahu mangsa mereka terlibat dalam siasatan pengubahan wang haram dan perlu memindahkan semua wang mereka untuk diperiksa.

Mempercayai panggilan tersebut, mangsa memindahkan sejumlah 1.8 juta baht ke beberapa akaun.

Pihak berkuasa berjaya menjejaki Yupaporn dan menemui dia berada di rumah di Chang Klang sebelum mengemukakan waran penahanan dan menahannya.

Siasatan lanjut mendapati Yupaporn mempunyai satu lagi waran tangkap berkaitan jenayah serupa yang melibatkan sindiket pusat panggilan.

Semasa disoal siasat, Yupaporn menafikan dia mengetahui sepenuhnya operasi sindiket pusat panggilan tersebut, namun, dia mengakui memiliki akaun bank yang digunakan untuk memperdaya mangsa memindahkan wang.

Polis mendakwa Yupaporn atas tuduhan penipuan dan memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer yang boleh memudaratkan orang awam. Dia telah diserahkan kepada penyiasat dari Divisyen 1 CCIB untuk tindakan undang-undang lanjut. -AGENSI