Wanita rugi RM5,500 beg tangan dilarikan lelaki pecah masuk inap desa

Wanita rugi RM5,500 beg tangan dilarikan lelaki pecah masuk inap desa

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembantu jualan kerugian RM5,500 selepas beg tangan dilarikan penjenayah yang memecah masuk sebuah inap desa di Taman Melati di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 49 tahun terbabit.

“Kejadian berlaku 9 malam di sebuah kediaman di Taman Melati. Pengadu mendapati beg tangan miliknya yang diletakkan di ruang tamu rumah sudah hilang.

“Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 10.40 malam semalam, terkesan seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam kediaman dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Lazim berkata, pengadu mengalami kerugian sebanyak RM5,500.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top