Wanita reka kisah jadi perempuan simpanan bayar hutang bapa didenda RM4,000

Wanita reka kisah jadi perempuan simpanan bayar hutang bapa didenda RM4,000

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang pengawal keselamatan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat kenyataan palsu menerusi satu rancangan audio siar di aplikasi TikTok pada Julai lalu.

Tertuduh, Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga ibu kepada dua anak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipenjara sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Wan Ainsyatul telah membuat kenyataan palsu

melalui siaran langsung Rancangan Heart 2 Heart di aplikasi TikTok dengan niat menyebabkan kegentaran kepada orang awam dan mendorong Pegawai Penyiasat Inspektor L Sri Vikneswaran melakukan siasatan.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di sebuah unit Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth yang terletak dalam Daerah Seberang Perai Utara kira-kira jam 3.30 petang, 26 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang diakui tertuduh, dia dengan sengaja memberikan kenyataan palsu di TikTok menerusi panggilan telefon dan laporan tersebut adalah tidak benar serta tidak pernah berlaku.

Menurut fakta kes itu, tertuduh menyatakan bapanya berhutang dengan sindiket peminjam wang tidak berlesen atau ah long sehingga dia dipaksa bekerja tanpa gaji di rumah merah dan telah sengaja membuat kenyataan palsu.

Hasil semakan pihak polis juga mendapati kenyataan itu adalah palsu dan berniat hendak menyebabkan kegentaran awam.

Ketika prosiding, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan denda minimum memandangkan tertuduh perlu menyara dua anak yang masing-masing berusia empat tahun dan 11 bulan.

“Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan turut perlu menanggung ibunya yang juga ibu tunggal dan dia juga telah menyesal atas perbuatan yang dilakukannya itu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam dalam kes berkenaan.

“Penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat semakin meluas, tertuduh telah menyalurkan kenyataan palsu dan telah memberi impak negatif kepada masyarakat yang melihat posting (hantaran) berkenaan.

“Kesalahan dilakukan tertuduh juga menyebabkan kegentaran kepada orang awam dan (dikhuatiri) menyebabkan kesan serius sekiranya tindakan tertuduh menyebarkan maklumat palsu diteruskan.

“Mohon hukuman berbentuk pengajaran supaya tertuduh lebih berhati-hati menyalur maklumat menggunakan platform media sosial supaya masyarakat tidak mencontohi kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top