RAUB: Seorang wanita mengandung cedera ketika berusaha melarikan diri daripada kebakaran di sebuah kedai dobi di Taman Amanlina Lestari di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu mangsa yang berusia 20-an cedera di bahagian perut akibat terkena pintu dan dikejarkan ke Hospital Raub untuk rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, Khairul Anuar Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.05 malam sebelum sepasukan 10 anggota BBP Raub dibantu pasukan bomba Sukarela Taman Amalina Lestari bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati api marak membakar bahagian dalam kedai dengan anggaran 80 peratus musnah dan dipadamkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan air tangki pam jentera pili bomba.
“Terdapat seorang wanita dewasa mengandung mengalami kecederaan di bahagian perut akibat terkena pintu semasa melarikan diri dari kebakaran.
“Anggota bomba membuat pemeriksaan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Raub menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan dan pemeriksaan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN