am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita yang ditemukan maut di parkir motosikal Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini, pagi semalam adalah pesakit di Hospital Permai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun.
“Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Permai di sini,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.
Semalam, media melaporkan, seorang wanita ditemukan terbaring di parkir motosikal Blok A PPR Kempas Permai itu selepas dipercayai jatuh dari tingkat lima blok berkenaan, kira-kira jam 11.20 pagi.
Difahamkan, penduduk tidak mengenali mangsa yang dipercayai bukan penduduk kawasan berkenaan dan berdasarkan kad pengenalan mangsa, dipercayai beralamat di Melaka.
Menurut Balveer Singh, setakat ini pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah berkaitan dengan insiden berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk proses bedah siasat.
“Di peringkat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan insiden itu untuk menyalurkan maklumat di talian 07-5563122 atau pegawai penyiasat Sarjan Mejar Norman Abd Manan di talian 019-7712808.
Sementara itu, menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa menaiki perkhidmatan e-hailing daripada Hospital Permai kira-kira jam 10 pagi untuk pergi ke sebuah pasar raya di Kempas.
Difahamkan, mangsa datang ke PPR berkenaan kerana pernah tinggal di kawasan itu memandangkan pihak hospital ada menyewakan dua rumah untuk pesakit mereka di Blok A berkenaan.
Menurut sumber lagi, insiden itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian belakang kepala selain patah kaki kiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd