GOLOK, THAILAND: Seorang wanita warganegara Malaysia ditahan bersama 1,542 biji pil yaba dan 39 gram dadah jenis syabu selepas polis melakukan serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di Choltharan Khet Road dan Witiutok Road di daerah kecil Sungai Golok pada 11 Februari lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lagi wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berkaitan dengan rampasan bahan terlarang itu.
Ketua Polis Sungai Golok, Kol Pol Jetsadawit Inprapan berkata, wanita Malaysia yang ditahan itu berusia 54 tahun.
“Wanita tempatan yang ditahan itu berusia 45 tahun dan beralamat di Daerah Muang, Yala dekat sini.
“Semasa ditahan polis telah menjumpai 1,542 biji pil yaba dan syabu seberat 39 gram,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi facebook Su-ngai kolok Police Station di sini hari ini.
Jedsadawit memberitahu, rakyat Malaysia yang merupakan tertuduh kedua dipercayai terlibat dalam penjualan dadah jenis 1 (methamphetamine dan syabu) dengan tujuan untuk mengedarkan secara komersial dan mengambil dadah jenis 1 (methamphetamine) secara haram.
Katanya, warga Thailand tertuduh pertama pula dipercayai terlibat dalam penjualan dadah jenis 1 (methamphetamine dan syabu) dengan tujuan untuk mengedarkan secara komersial.
“Kedua-dua tertuduh di bawa ke Pejabat Penyiasat Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN