RAYONG: Polis Thailand menahan seorang wanita yang disyaki mengalami masalah mental berikutan pembunuhan kejam seorang wanita transgender di wilayah timur Rayong, pada hujung minggu lalu.
Kejadian terbongkar apabila seorang lelaki tempatan, Prasit Yeesunhom, 29, membuat laporan di Balai Polis Pluak Daeng pada Jumaat lalu selepas rakannya menemui mayat seorang wanita dalam kawasan hutan tepi jalan di daerah Pluak Daeng ketika pergi memancing.
Hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak polis mendapati mangsa, Wichai Aunruean, 51, tinggal di Sekolah Wat Krabok Khuen Fang di daerah Ban Khai dan bekerja mengutip barang kitar semula serta di ladang getah bagi menyara hidup.
Mayat Wichai ditemukan dalam keadaan mengerikan dengan kesan kelar dalam di leher serta dua batang kayu tertusuk ke dalam hidung serta turut ditemui memakai seluar pendek berwarna merah jambu dan baju berjalur.
Ketua komuniti setempat, Jaroon Saengsuriya, memaklumkan kepada media Wichai kali terakhir dilihat sedang menari di sebuah pesta kuil berhampiran tempat tinggalnya seminggu sebelum kejadian.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati Wichai keluar dari pesta kuil itu bersama seorang wanita bernama Malinee, 36, menaiki motosikal beroda tiga.
Rakaman susulan menunjukkan Malinee kemudian meninggalkan lokasi kejadian seorang diri dengan motosikal tersebut.
Polis menahan Malinee pada Sabtu lalu selepas menemui kesan darah pada beg miliknya dan ketika disoal siasat di balai polis, dia dilaporkan kerap ketawa terbahak-bahak dan tersenyum ke arah wartawan, namun enggan memberi sebarang kenyataan, menimbulkan syak dia mungkin mengalami gangguan mental.
Bekas isteri Wichai, Orrasa, 46, turut hadir di balai polis untuk mengikuti perkembangan siasatan.
Malinee kini didakwa mengikut Seksyen 288 Kanun Keseksaan Thailand atas kesalahan membunuh dengan niat dan jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mati, penjara seumur hidup, atau penjara antara 15 hingga 20 tahun. -AGENSI