Seorang wanita telah ditemui meninggal dunia di dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota, Kuantan Pahang pada petang Rabu.
Menerusi laporan Sinar Harian, wanita itu dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui oleh ibu mentuanya kira-kira jam 7.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama suaminya yang merupakan warga China dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun serta adik ipar perempuannya.
Pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa oleh bapanya berusia 62 tahun (pengadu) kira-kira jam 3.25 petang pada Rabu.
Bapa mangsa yang bekerja sebagai peniaga mendakwa gagal menghubungi anak ketiganya itu selepas kali terakhir mereka berhubung melalui pesanan WhatsApp jam 8.30 pagi hari yang sama.
Selepas pengadu melaporkan kejadian tersebut, pada pukul 7.30 petang pengadu telah dihubungi suami mangsa mengatakan mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik tidur dan mempunyai kesan jerutan pada leher.
Susulan penemuan mayat wanita itu, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapa, bapa dan ibu mentuanya berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut.
Mayat suri rumah itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Susulan kejadian itu, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.